Sunday, June 14, 2009

Get Up! Don't Give Up!

Membangkitkan semangat yang luntur bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Tambahan pula jika kita baru sahaja menghadapi ujian yang menentukan masa depan kita. Cukup memikirkan segala perkara yang terbaik yang telah dilakukan untuk menjawab segala soalan yang diberikan. Tidur terpaksa dikorbankan, masa makan dikurangkan, kadang-kadang tidak makan langsung. Selepas satu subjek, datang pula subjek yang sukar di kemudian hari, satu persatu mereka menerjah dan menguji apa yang telah kita pelajari selama ini. Kepada yang meletakkan sepenuh usaha yang telah disuntik dengan semangat membara disusuli pula dengan doa yang tidak putus-putus, tahniah diucapkan. Bukan mudah untuk dilakukan, tetapi tidak mustahil. Tidak terkecuali dengan saya. Memang kejayaan yang diharapkan, tetapi jika tidak mendapat apa yang dicita janganlah kita bermuram durja, ini adalah salah satu ujian, bakal menyusul lebih banyak dan mencabar di kemudian hari. Pada saya, segala keputusan yang terpampang adalah hasil usaha saya sendiri dan bukannya orang lain. Ini adalah sebagai kayu ukur di mana letaknya saya bersama rakan-rakan saya yang lain.

Mendapat markah yang rendah bukanlah bermaksud kita ini bodoh, tetapi ia adalah sebagai amaran kepada kita bahawa kita memerlukan usaha yang luar biasa untuk mendapatkan sesuatu yang luar biasa. Jikalau usaha dan tenaga yang dicurahkan adalah biasa, jarang-jarang kita dengar hasilnya di luar jangkaan bukan?

Tetapi yang menyedihkan hati ini bukanlah markah rendah yang diperolehi, tetapi usaha yang dikenangi. Terlalu sedikit usaha yang dicurahkan. Lebih tepat lagi, tidak optimum untuk mencapai kejayaan. Saya sedar dengan segala resepi kejayaan yang diputarkan hangat di laman-laman buku kejayaan, tetapi, hati yang tidak mahu menerima semua itu. Kalaupun hati mengatakan iya, nafsu malas tidak berhenti-henti melawan akal dan akhirnya akal tewas jua kepada kecekalan nafsu. Bila dilayan nafsu malas itu, mulalah nafsu bermain berlari-lari di minda ini. Mudah sahaja tumpuan untuk belajar dimusnahkan.

Menurut seorang rakan saya, dia bertanya seorang ustaz tentang masalah ini. Mengapa tumpuan ketika belajar itu mudah hilang dan dorongan untuk menghabiskan kerja itu biasanya separuh jalan sahaja? Jawapan ustaz itu mudah sahaja, solat. Jika sempurna solat seseorang itu, maka sempurnalah segala atur jalan hidup seorang hamba. Solat mengajar kita tumpuan. Tumpuan kita ketika solat hanyalah satu, memperoleh keredhaan Allah dengan mengerjakannya sepenuh khusyuk. Tundukkah dengan hati yang ikhlas, InsyaAllah kita akan dikurniakan hati yang terang serta tenang. Tambah beliau, perbanyakkanlah bangun malam dan melakukan solat sunat, kerana ia amat membantu dalam mendapatkan tumpuan sepenuhnya kerana suasana yang sunyi dan tenang. Carilah ketenangan itu di dalam solat. Andai kata ketika solat, terlintas perkara-perkara dunia, bagaimana datangnya khusyuk tersebut? Bagaimana kita hendak menyemai tumpuan yang memberi faedah di dalam banyak perkara? Tugasnya amat mudah, mengapa kita menjadikannya susah? Hanya dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada solat, InsyaAllah tidak mustahil tumpuan yang diperoleh dapat diaplikasikan sewaktu dalam pembelajaran.

Kemudian, tegas beliau, jikalau kita menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan, contohnya matematik. Jangan cepat mengalah, mengeluh dan sebagainya. Ketika ini, syaitan suka mempermainkan hamba Allah. Mereka akan segera mengajak kita melakukan sesuatu yang melekakan dan menyuruh kita meninggalkannya sebentar. Hakikat, jika jati diri kita lemah, kita akan kalah dengan pujukan mereka. Digalakkan ketika memperoleh soalan yang sukar, kita buat dan cuba sebera banyak kali yang kita mampu. Meninggalkannya bukanlah menyelesaikan masalah, tetapi kita lari daripada masalah dan orang yang melarikan diri dari masalah tidak akan berjaya. Jika tidak boleh juga, sebaiknya kita berbincang dengan orang yang kita percaya mempunyai cara penyelesaian untuk permasalahan itu seperti rakan sekelas mahupun pengajar. Sebagai seorang muslim, sewajarnya anda berehat seketika untuk berselawat dan berdoa agar ditunjukkan jalan penyelesaian ataupun ambil wudu’ untuk mengelakkan diri daripada syaitan. Sampai di sini sahaja saya berceloteh, segala buah fikiran yang dicurahkan adalah berdasarkan pengalaman diri saya, tidak sempurna dan masih banyak cacat cela. Segala pandangan tentang perkara ini saya sedia terima dengan hati terbuka dan semoga dengan ulasan yang saya terima dapat kita sama-sama manfaatkan. Terima kasih.

4 comments:

M.A.H said...

great~

Asyraf Spark said...

excellent :)

| c o r v u s | said...

ye ye aa korang bace
lepaih tu tulih
"great"
"excellent"

oit rengit summary??

Indera said...

tu tandanya diorang setuju dengan pandangan yang telah dinyatakan. Anda pula bagaimana?
Nak summary camner lak Ajim?? Aku dah summarize suma cite yg aku imbas kembali, tu laa.. haih~~!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...